Tuesday, June 10, 2008

Gila Rockstar

Hari ini hari minggu. Indah dan bahagianya rasa hari ini apabila aku dapat duduk dirumah, tidak seperti selalunya ada sahaja aktiviti-aktiviti di hari minggu. Bangun sahaja pagi, aku sudah mula bersukan dengan angah. Macam tak percaya aku boleh bangun pagi tak seperti hari-hari selalunya. Tetapi, selesai bersukan, nasi lemak membuka selera aku pada pagi itu dan sesampai sahaja di rumah, aku telah menyambung tidurku dengan nyenyak sekali. Entah kenapa hari ini terasa seperti sangat liat dan memulas-mulas perutku, membuatkanku terus sahaja berbaring di katil tanpa ada sebarang gangguan. Dalam hati, mungkin aku nak period kot ni. Sakit semacam je. Tekaan aku selalunya memang benar2 belaka. Pendarahan telahpun berlaku dan perasaan itu menjadi sedikit gundah gulana kerana hanya wanita kepada wanita sahaja yang memahami betapa peritnya apabila mengalami keadaan kritikal ini. Bila wanita period, lelaki selalu kata bahawa wanita yang period memang selalunya macam tu. Datang angin tak baik sikit je, dia period la tu, walaupun pada kenyataannya mereka tidak pernah memahami betapa perit dan sakitnya apabila wanita mengalami pendarahan pada hari pertama. Sebab itu, jarang sekali mereka mahu diganggu dan bercakap dengan sesiapa ketika keadaan mereka tidak begitu stabil.
Hari minggu seperti ini, aku telah merajinkan diri sendiri dengan membasuh baju dan mengemas bilik. Sebenarnya, hendak menahan kesakitan dan malas rasanya ingin melayan rasa sakit yang berpanjangan. Aku berfikir sejenak, nasib baiklah aku tidak ke mana-mana hari ini. Kalau tak, sakit juga hati kawan-kawan aku nanti melihat keadaan aku yang menahan kesakitan. Sebenarnya, hari ini ada tiga gigs besar-besaran telah dijalankan dan ketiga-tiga gigs ini telah diajak oleh rakan-rakanku untuk sama-sama merasai keseronokkannya. Selalunya, jarang sekali aku menolak pelawaan orang lebih-lebih lagi aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan gigs.
Entah mengapa tidak pula pada minggu ini. Baik Rock On Rave, baik Splash Summer, mahupun gigs The Times Showcase. Hati seperti tidak berminat untuk pergi. Mungkin aku sudah sedikit kebosanan dengan gigs-gigs yang bersepah-sepah dan setiap minggu pasti sahaja ada. Sejak band Hujan selalu berkumandang di Radio dan band Estranged telah dinobatkan sebagai Juara melalui Juara Lagu tahun lepas, muzik independent mula diterima oleh masyarakat ramai terutama sekali golongan-golongan remaja. Penerimaan terhadap muzik independent ini juga telah menyebabkan remaja-remaja sekarang mula berkunjung ke gigs-gigs setiap minggu, mula menggayakan fesyen stail ala-ala band indepedent mereka gemari yang kadangkala bagiku seperti satu kejutan budaya terhadap muzik independent yang sangat berlebih-lebihan. Apakah dengan pendedahan muzik-muzik independent ini dapat menjadi contoh yang baik kepada anak-anak melayu kita sekarang ataupun adakah kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan muzik independent ini sudah cukup matang dengan pegangan serta falsafah muzik-muzik mereka atau sekadar ingin dikenali ramai sahaja.
Kalau ingin bersembang tentang muzik, aku bukanlah seorang manusia yang terlalu memahami tentang muzik-muzik independent. Tetapi, aku melihat perubahan ini sejak kewujudan band Hujan mewarnai muzik tanahair kita. Secara jujurnya, aku tidak menyalahi band ini kerana dianggap memberi imej yang buruk kepada remaja masa kini, kerana setahuku band-band independent sudah lama wujud berabad lamanya, tetapi mula popular sejak kewujudan band Hujan. Budak-budak sekolah terutamanya mula menggilai kumpulan ini dan mula menganggap bahawa era muzik independent sebagai salah satu perubahan terhadap muzik di Malaysia. Selepas band Hujan, wujud pula band-band lain yang mula tumbuh dengan pesat dan wujud juga remaja-remaja masa kini yang mula merasakan diri mereka seperti gila “bintang batu” atau dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai Gila “Rockstar”. Mungkin disebabkan aku diantara manusia-manusia yang sering ke gigs, semakin lama aku menjadi semakin rimas apabila melihat budak-budak sekolah makin berleluasa, berfesyen serba tak kena (kalah band yang nak perform), berlagak macam rockstar (lebih-lebih lagi jika salah seorang dari band itu adalah teman lelaki ataupun skandal mereka) dan tak kurang hebatnya di kalangan band-band independent itu sendiri yang kadangkala bagiku terlalu menunjuk hebat seperti terkena kejutan budaya. Padahal, muzik mereka tidak lah hebat manapun. Shalala je…
Keadaan ini sudah dapat aku bayangkan pada gigs yang sedang berlangsung hari ini. Berpusu-pusu manusia pergi ke Summer Splash yang bertempat di Sunway Lagoon. Aku andaikan, mungkin sesetengah daripada mereka datang kerana ingin menyokong rakan-rakan, sesetengah daripada mereka yang lain hanya ingin melihat wanita-wanita dan lelaki-lelaki separuh bertelanjang, sesetengah daripada mereka yang lain mungkin hanya inginkan keseronokkan dengan bermain air sambil mendengar muzik atau mungkin hanya suku daripada mereka yang benar-benar ingin menghayati muzik dan cuba mengerti tentang perjuangan muzik yang dibawa oleh band-band independent ini. Kadangkala aku merasa kasihan terhadap band-band independent yang cuba menyampaikan mesej kepada khalayak, tetapi manusia-manusia ini tidak pernah mengerti dan cuba memahami apa yang diingini dan cuba disampaikan oleh mereka.
Mungkin keadaan seperti ini tidak akan berubah selagi muzik independent tetap didengari dan makin disukai ramai. Kadangkala aku menjadi marah apabila aku tetap mengatakan kepada kawan-kawanku aku sangat menghormati muzik-muzik Indonesia berbanding Malaysia kerana lirik-lirik mereka yang begitu indah dan gaya mereka yang bersahaja dan santai-santai sahaja membuatkan aku terus menggilakan mereka. Tetapi, berlainan pula pada rakan-rakanku yang tetap menyokong muzik Malaysia yang dianggap liriknya sangatlah bagus dan mudah difahami serta diikuti orang ramai. Dan pada mereka, itulah yang dikatakan Rockstar. Apapun, aku harus menghormati pendapat mereka walaupun di dalam hati aku tetap mengatakan muzik Malaysia tidak pernah cuba untuk berubah. Balik-balik pasal cinta. Balik-balik pasal kekasih yang ditinggalkan kekasihnya. Semuanya pasal cinta, cinta dan cinta lagi.
Tetapi, tidak dinafikan, ada juga segelintir band-band independent di Malaysia yang berani berjuang dengan muzik mereka dan bagus lirik-liriknya. Cuma mereka kurang menonjolkan diri dan tidak pernah kisah jika cuma ada segelintir golongan-golongan tertentu sahaja yang menyokong mereka. Itu adalah lebih baik daripada terlalu banyak pengikutnya. Dan pada mereka-mereka ini, aku ingin berpesan teruskanlah dengan perjuangan muzik yang sedang kalian lakukan. Tidak perlulah terlalu mengejar populariti sehingga memalukan perjuangan muzik diri sendiri. Dan kepada mereka-mereka yang sedang obses dengan muzik-muzik independent ini, teruskan dengan kegilaan kalian-kalian semua. Sehingga satu hari nanti, apabila kalian makin membesar, mungkin kalian akan mulai sedar bahawa gigs sama juga seperti konsert-konsert yang lain. Tiada apa pun bezanya. Tidakkah kalian pernah memikirkan, mungkin gigs perlu ditukar sedikit konsepnya supaya gigs bukan sahaja dikunjung atau ditonton oleh golongan-golongan mereka yang gilakan muzik-muzik independent tetapi juga dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat. Dan berkemungkinan besar, gigs akan diangkat tinggi oleh masyarakat serta mampu menaik tarafkan golongan-golongan pemuzik independent.

3 comments:

amer zaman said...

tapi kat nusantara ni..

ada karyawan muzik yang hebat..

dari malaysia..

dia adalah..

M.Nasir.

(pandangan peribadi)

CikAjune said...

yep.
memang kat Malaysia ni ada yang hebat2 nya.
yang diberi fokus lebih kepada band-band. saya juga mendengar semua lagu-lagu M-nasir. sebab beliau juga salah satu pujaan hati saya. =)

faizsaaid said...

akan saya ingat kata kata anda ini.


-ninjaseni