Friday, July 25, 2008

Get well soon

Laptop aku baru-baru ni rosak. Jadi aku mempunyai banyak masalah untuk kembali menulis dan agak tertekan apabila aku tidak dapat membuat sebarang tugasan-tugasan yang diberikan oleh pensyarah dan membuatnya pada malam hari akibat daripada kerosakan laptop. Mungkin mengambil masa juga, tetapi aku masih lagi meneruskan kerja-kerja yang banyak di lab komputer. Kerja semakin hari semakin banyak. Dan baru-baru ini aku harus menyiapkan tugasan di bawah subjek Iklan dan harus keluar shooting. Aku telah dipilih sebagai penolong pengarah dan untuk pertama kalinya aku diberi kepercayaan untuk memegang jawatan ini.


Bukan satu perkara yang mudah bila aku terpaksa menghasilkan sebuah jadual pengambaraan dengan perlu memikirkan tentang masa, shot, conti, pakaian, dan semua aspek-aspek yang berkaitan dengan pelakon mahupun masalah-masalah yang akan timbul pada hari pengambaraan. Begitu juga dengan karenah pengarah yang macam-macam. Ini baru sahaja menghasilkan sebuah jadual iklan, belum lagi sekiranya aku membuat jadual untuk sebuah filem. Mungkin lebih menyukarkan. Mungkin masyarakat melihat bahawa sesuatu pembikinan filem itu nampak mudah dan cantik sahaja setelah dihasilkan, tetapi sebelum dihasilkan terlalu banyak konflik dan masalah yang harus ditangani dengan sabar oleh setiap produksi.


Aku bukanlah seorang perfectionist, tetapi apabila menjalankan sesebuah tugasan, aku harus memastikan semuanya dilakukan dengan rapi. Apa sahaja yang aku rasakan tidak memuaskan hatiku, akan aku luahkan kepada pengarah dan berharap sedikit sebanyak dapat menerima pendapatku sendiri. Walaupun baru pertama kali aku memegang jawatan sebagai penolong pengarah yang aku anggap berat untuk dipikul, tetapi aku harus menunjukkan potensi ke arah itu untuk aku menghasilkan sesebuah filem kelak sebagai seorang PENGARAH yang teliti dari segala aspek.


Malam ini, selesai sahaja segala tugasan, Shasha iaitu kawan baikku mendapat panggilan telefon dari ibu tiri boyfriend nya. Ibutiri nya kata, Aizal (bf shasha) masuk hospital kerana demam sehingga kekejangan badan. Shasha yang tengah memandu, setelah diberitahu agak terkejut. Begitu juga denganku kerana aku juga rapat dengan teman lelakinya. Kami telah pergi ke hospital Ampang untuk melihat keadaanya. Aku agak sedih apabila melihat keadaanya yang lemah, tidak boleh bergerak dan sesekali hanya mampu berkata-kata beberapa patah perkataan sahaja. Sehingga apabila dia tidur, airmatanya mengalir seolah-olah terlalu sakit menahan kekejangan di seluruh badannya. Aku dengar dari mulut Shasha, "U tido lah. Tak payah cakap ape-ape." Seolah-olah memahami kesakitan yang sedang teman lelakinya alami. Aku hanya mampu melihat sekejap sahaja setelah dihalau beberapa kali oleh seorang doktor lelaki kerana tidak mahu terlalu ramai orang yang melawat. Dalam hati agak sedikit marah pada doktor itu. Suka hati aku lah nak melawat orang.


Aku hanya tunggu di luar dan menonton The Mummy di televisyen. Lama juga Shasha di wad dan aku pula, semakin leka menonton cerita itu. Kemudian dia turun tetapi masih mampu tersenyum padaku. Mungkin cuba tidak mahu menunjukkan rasa sedihnya pada aku. Perempuan seperti Shasha sangat manja dan aku tahu dia tentu sangat sedih. Di dalam kereta, kami tidak berkata apa-apa. Aku hanya senyap sahaja dan sekali sekala memandang dia. Dia hanya memandang ke depan dan memandu. Sesekali sahaja berborak denganku, cuba menyembunyikan rasa sedihnya. Sampai sahaja di bilik, aku memandang dia dan aku berkata, "Sabar ye Sha. Semua mesti baik-baik je." Aku tak sanggup memandang mukanya kerana aku tak sanggup melihat kawan aku dalam kesedihan. Dan aku sangat takut sekiranya perkara-perkara seperti ini berlaku pada orang-orang yang aku sayang. Shasha hanya memandang aku, tidak senyum tidak juga menangis. Dalam hatiku, Shasha memang lebih tabah dari aku.


Sedang sibuk aku melayari internet, aku sesekali melihat Shasha yang sudahpun baring. Dia menutup mukanya dengan anak patung besar. Dia memeluk dengan kuat sekali. Aku pandang ke hadapan. Aku tahu...dan aku pasti...dia sedang menangis.


Untuk Aizal, semoga u cepat sembuh dan i selalu doakan kebahagiaan u dan shasha.

2 comments:

Anonymous said...

i'm sad reading this..hope asha strong..please be a good friend to her..take care!!

CikAjune said...

i'll angah. =)
aizal dah makin okay.